Sinar Harian: Jurang kemiskinan tidak pernah berubah

KUALA LUMPUR, 26 November 2014 - Kumpulan minoriti Bumiputera di Sabah dan Sarawak serta orang Asli di Semenanjung Malaysia kekal sebagai kumpulan etnik yang paling miskin serta jauh ketinggalan berbanding kaum Melayu, Cina dan India daripada mendapat manfaat pembangunan di negara ini.

Menurut Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam Laporan Pembangunan Manusia Malaysia bertajuk ‘Mereka bentuk Semula Masa Depan Inklusif’, Sabah mempunyai penduduk miskin paling ramai berbanding negeri lain.

Wakil Tetap UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Michelle Gyles-McDonnough berkata, pengagihan kekayaan lebih tertumpu di bahagian atas menyebabkan ketidaksamaan aset adalah hampir dua kali ganda pendapatan serta jurang antara golongan kaya dan miskin tidak pernah berubah sejak 20 tahun lalu.

“Kemiskinan mutlak telah menurun tetapi kemiskinan relatif telah muncul sebagai satu kebimbangan yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Oleh itu, laporan ini mencadangkan supaya Malaysia mengukuhkan dasar pro-miskin dan memperkenalkan dasar-dasar pengagihan semula aktif akan memberi kesan positif pengagihan pendapatan untuk memberi faedah kepada semua anggota masyarakat,” katanya ketika berucap melancarkan Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 di ibu negara, semalam.

Laporan berkenaan dipetik daripada laman web UNDP di www.mhdr.my yang merupakan hasil kaji selidik badan itu yang ditubuhkan sejak kemerdekaan negara pada 1957.

Pada awal penubuhannya, UNDP lebih tertumpu pada bantuan pembinaan keupayaan dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan; kesihatan serta pemakanan.

Hari ini, semua projek-projek UNDP di Malaysia dilaksanakan di peringkat kebangsaan, yang melibatkan lebih daripada sepuluh kementerian dan agensi-agensi Persekutuan dan terletak di lebih daripada enam negeri.

Selain itu, laporan berkenaan turut mengesyorkan kerajaan supaya menyahut cabaran baharu daripada guna tenaga sepenuhnya kepada menangani ketidaksamaan gaji dan upah yang tidak berubah.

Ini adalah kerana sumbangan gaji kepada pendapatan negara telah menurun walaupun terdapat peningkatan mendadak keuntungan korporat kepada pendapatan negara.

“Pengenalan gaji minima telah memberi kesan positif yang tertinggi dalam memperbaiki ketidaksamaan peningkatan gaji,” kata laporan itu.

Dalam pada itu, laporan berkenaan mendedahkan kelas menengah di negara ini masih kecil iaitu 20 peratus daripada jumlah isi rumah walaupun pertumbuhan ekonomi negara berterusan.

“Angka ini tidak bertambah baik dengan ketara sejak dua dekad yang lalu, menunjukkan mobiliti sosial ke atas amat terhad.

“Jaringan keselamatan sosial seperti akses kepada sekuriti pendapatan, perkhidmatan asas dan peluang membantu melindungi golongan yang mudah terjejas dengan aset dan keupayaan yang terhad, dan menghalang mereka daripada jatuh ke dalam kumpulan 40 peratus,” katanya.

Dalam laporan itu, turut mendedahkan bahawa hampir separuh daripada wanita Malaysia yang bekerja sebelum ini mengganggur atau tidak mendapat pekerjaan.

“Kadar penyertaan tenaga buruh wanita adalah jauh di bawah kadar penyertaan tenaga buruh Malaysia, walaupun pada hakikatnya jurang dengan kaum lelaki telah menurun dari semasa ke semasa.

“Dianggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang hampir 3 peratus jika kadar penyertaan tenaga buruh wanita boleh dinaikkan kepada lebih 70 peratus.

“Walaupun wanita semakin berpendidikan dan diperkasa, sumbangan mereka kepada ekonomi secara berterusan telah diganggu oleh pelbagai faktor,” kata laporan itu.

Laporan itu juga menyebut bahawa wanita secara konsisten mendapat bayaran gaji yang kurang daripada lelaki di setiap peringkat spektrum kerja khususnya di peringkat tertinggi seperti jawatan pegawai kanan dan pengurus.

“Malah bagi pekerjaan yang dikuasai wanita seperti bidang perkhidmatan dan kerja-kerja perkeranian, lelaki masih mendapat gaji yang lebih tinggi untuk melakukan kerja yang sama.

“Keadaan ini adalah kurang bermanfaat bagi wanita dalam ekonomi tidak rasmi, di mana undang-undang buruh jarang diperhatikan,” kata laporan itu.

Sehubungan itu, kata laporan itu, Malaysia memerlukan dasar generasi kedua yang mengutamakan pertumbuhan inklusif dan perpaduan sosial.

“Tindakan afirmatif terus menjadi kompleks dan perlu dilaksanakan dengan munasabah. Adalah penting untuk memastikan keseimbangan di antara kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum-kaum lain,” kata laporan itu lagi.

> Related stories:

Astro Awani: Orang Asli development

The Malaysian
Insider: Gender discrimination

Bloomberg TV
Malaysia:
MHDR 2013

Malaysia needs
second generation
policies

#MHDR

The inclusive future includes you

Join the national dialogue

       

Get included
Which policy reform do you think will help Malaysia the most?

Get the full report
Download MHDR 2013

Spread the word
Share key issues raised in the MHDR with your friends

 

It is essential that Malaysia continues to prioritise inclusive growth and social cohesion, and moves forward with the second generation policies that are needed to support this.
-Frances Stewart


Print